Monday 15 October 2012

Antara bintang - Bintang Gangnam Style


Salam.

Saya pasti anda sudah pun mengenali siapa PSY sekarang, tidak kira sama ada anda peminat industri hiburan Korea, menyukai "Gangnam Style" atau ingin berpindah ke planet lain kerana sudah muak mendengar lagu tersebut. Namun begitu, video "Gangnam Style" pada awalnya tidak disangkakan akan mendapat sambutan hangat oleh mereka yang tidak pernah peduli tentang gelombang K-Pop pun. Malah pihak YG Entertainment menggunakan khidmat kemunculan bintang-bintang lain untuk meraih populariti awal.

Jadi siapakah bintang lain yang telah digunakan oleh PSY dan YG Entertainment untuk memeriahkan video klip lagu tersebut?

Lelaki berpakaian serba kuning dengan tarian aneh
Lelaki itu muncul dengan kereta sport berwarna merah, perasan dirinya bergaya dan mencabar PSY dengan tariannya. Bagi mereka yang tidak mengenalinya, dia bukanlah sesiapa kecuali seorang lagi lelaki pelik di antara begitu ramai manusia pelik dalam "Gangnam Style".
Namun bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia hiburan Korea Selatan, mereka mengenalinya dengan nama Yu Jae-suk, atau gelarannya "The Nation MC" atau Pengacara Nombor 1 Korea. Yu yang lebih dikenali sebagai "Si Belalang" ini memulakan kerjaya pada tahun 1991 dalam bidang pengacaraan dan selepas 21 tahun, Yu menjadi seorang daripada bintang Korea paling dikenali melalui rancangan seperti "Happy Together" (KBS), "Infinite Challenge" (MBC) dan terutama sekali rancangan paling popular, "Running Man" (SBS). Malah dia juga sangat disukai ramai kerana sikapnya yang budiman dan pemurah. Anda mungkin ketawakan tarian lucunya, tetapi ketahuilah bahawa Yu Jae-suk merupakan ikon hiburan yang sangat dihormati!

Lelaki pelik di dalam lif
Selepas populariti "Gangnam Style", khabarnya bukan PSY sahaja yang mendapat perhatian umum. Lelaki berwajah lucu yang menari dengan jelek di dalam lif dalam klip videonya juga mula mendapat banyak tawaran lakonan dan kemunculan di televisyen.
Lelaki lucu dengan tarian yang memualkan itu bernama Noh Hong-chul dan dia memiliki ijazah dalam kejuruteraan mekanikal di Universiti Hongik. Bermula di stesen Mnet sebagai pengacara rancangan "Dr. No's Pleasure Street" pada tahun 2004, Noh menjadi satu daripada pengacara dan penghibur rancangan variasi paling direbuti ramai. Antara siri variasi televisyen yang disertainya termasuk "Infinite Challenge" di MBC bersama idolanya Yu Jae-suk, mengacara "Heroes" di SBS bersama Lee Hwi-jae dan juga pengacara bersama "Korea's Got Talent" di stesen tvN.

Si gadis seksi di dalam tren
Mungkin dia tidak perlu diperkenalkan. Kami pasti selepas kemunculannya di dalam "Gangnam Style", gadis seksi ini pasti menjadi orang pertama yang akan dicari di Google oleh mereka yang tidak mengenalinya.
Ya, si gadis seksi di dalam tren dalam klip video PSY itu bernama HyunA (nama asal Kim Hyun-ah) dan dia merupakan seorang penyanyi rap, penari, model, pereka fesyen dan ahli kumpulan idola K-Pop yang dikenali dengan nama 4minute. Gadis yang baru berusia 20 tahun ini sedang menuntut di Universiti Konkuk dalam bidang Seni Budaya dan merupakan anak emas agensinya, Cube Entertainment sehinggakan HyunA diberikan kebebasan untuk menghasilkan beberapa album solonya sendiri, diserap ke dalam projek sub-unit Trouble Maker bersama Hyun-seung dari kumpulan BEAST dan menarik perhatian YG Entertainment untuk menggunakan khidmatnya dalam muzik video PSY.
HyunA juga dikenali kerana seringkali menerima kritikan akibat imejnya yang terlalu seksi dalam persembahan dan muzik video - tidak bersesuaian dengan usianya yang dianggap masih terlalu muda.

Dua warga tua bermain catur
Para peminat Big Bang pasti menjerit setiap kali mendengar dua nama ini. Kemunculan mereka dalam "Gangnam Style" sebagai dua orang warga tua yang sedang bermain catur ini masih lagi dipertikaikan dan ada yang mengatakan dua warga tua itu bukanlah Dae-sung dan Seung-ri.
Namun apa pun, Dae-sung dan Seung-ri merupakan dua daripada lima ahli kumpulan idola popular K-Pop, Big Bang yang bernaung di bawah YG Entertainment – syarikat sama yang menempatkan PSY. Dae-sung (23 tahun) terkenal dengan sifat ceria dan lucunya dan merupakan antara penyanyi idola dengan suara R&B yang sungguh merdu sekalipun tidak memiliki wajah kacak yang tipikal di kalangan idola K-Pop. Dae-sung juga pernah berlakon dan menyertai program variasi bersama Yu Jae-suk, "Family Outing" di KBS.
Seung-ri pula merupakan ahli termuda kumpulan Big Bang yang bermula sebagai peserta dalam rancangan nyanyian anjuran kumpulan Shinhwa. Penyanyi berusia 21 tahun ini juga bertindak sebagai seorang daripada jurutari Big Bang dan menjadi 'jurucakap' buat Big Bang kerana sikapnya yang ramah tamah dan mudah mesra. Seung-ri juga bakal muncul dalam filem adaptasi manga Jepun, "Kindaichi" tidak lama lagi.

Si PSY versi cilik
Semua orang jatuh cinta dengan si kecil comel yang menari dengan penuh bergaya bersama PSY di dalam "Gangnam Style". Namun hanya selepas populariti memuncak muzik video tersebut, si cilik ini meraih perhatian.

Namanya Hwang Min-woo dan dia merupakan seorang prodigi tarian yang pernah membuat kemunculan di rancangan mencari bakat "Star King" di SBS dan musim kedua "Korea's Got Talent" di tvN. Hwang mendapat perhatian industri hiburan melalui rancangan-rancangan tersebut selepas dia mempersembahkan tarian Rain dan koreografi "Bonamana", yang membolehkan Hwang memenangi 5,000 dolar sebagai peserta terbaik "Star King" ketika berusia lima tahun. Dia juga dikenali sebagai "Shin-dong Mini" kerana menyerupai ahli Super Junior, Shin-dong yang bertubuh 'comel' tetapi hebat dalam tarian.

No comments:

Post a Comment