Sunday 6 May 2012

Keputusan Penuh Terbuka Malaysia 2012 - Datuk Lee Chong Wei Juara Terbuka Malaysia 2012


Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas selama 50 minit sebelum berjaya mempertahankan gelaran GP Emas Terbuka Malaysia 2012 kali keempat berturut-turut, hari ini.

Berlangsung di gelanggang Stadium Bandaraya Johor Bahru, pemain Indonesia, Sonny Dwi Kuncoro nyata tampil cemerlang untuk mendahului set pertama 21-17.

Dan, ekoran persembahan yang meyakinkan, Chong Wei menguasai set kedua 21-8 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, Chong Wei yang mendominasi perlawanan nyata langsung tidak memberi peluang kepada Sonny untuk mencatat kemenangan selesa  21-10.

Gelaran GP Emas Terbuka Malaysia merupakan gelaran pertama dimenangi Chong Wei selepas mengalami kecederaan bahu semasa Seluruh England bulan lepas.

Dalam pada itu, harapan beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dalam misi memburu  gelaran pertama kejohanan itu kali ini tercapai apabila dengan mudah mengatasi pasangan Indonesia, Fadhilah Irfan/Anggraini Weni dalam final hari ini.

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying hanya mengambil masa 31 minit untuk mencatat kemenangan  21-12, 21-14.
Bagi perseorangan wanita pula, pemain Thailand, Busana Ongbumrungpan  muncul juara setelah menundukkan Sayaka Takahashi dari Jepun dengan catatan 21-17, 22-20 dalam masa 34 minit.

Sementara itu, turun selaku pilihan pertama kejohanan, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak menghadapi kesukaran untuk mempertahankan gelaran beregu lelaki apabila mudah mengenepikan rakan senegara, Chooi Kah Ming/Ow Yao Han 21-15, 21-19.

No comments:

Post a Comment